Aug 15, 2009

Kerana Hatiku Merantau Jauh..


Blog ini sudah bersawang. Lama benar aku tinggalkan. Tiada langsung jejak. Aku tidak berlaku adil. Maafkan aku.

Blog umumku yang menjadi ikutan sebahagian kenalanku telahpun aku tukar menjadi blog untuk tatapan peribadi. Anginku tidak baik. Itu yang pasti.

Sepanjang ketiadaanku tanpa sebarang catitan di sini, telah banyak perkara yang berlaku. Dalam gembira ada nestapa. Hidup tanpa merasa garam pasti tidak enak. Begitulah. Namun, ternyata ini semua membuat aku lebih dewasa. Pemikiran dan tahap kematanganku semakin kehadapan dan aku gembira dengan perkembangan ini. Ia tidak berlalu sia-sia.

Perkembangan terkini aktiviti sukarelawan, aku ada berita yang ingin dikongsi. Minggu lepas aku mendapat panggilan dari yayasan. Mereka ingin menghantar sukarelawan ke bumi Palestin. Dan mereka mengharapkan agar aku dapat datang untuk sesi temuduga yang akan diadakan dalam masa terdekat ini. Bumi Palestin! Sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran. Aku bersetuju untuk hadir tetapi tidak yakin dapat menempatkan diri dengan mudah untuk bersama mereka yang lain. Tidak pernah dalam sejarah yayasan mereka memanggil calon perempuan untuk ditemuduga bagi misi seperti ini. Sungguh ini bukan main-main.

Mama dan Abah tampak seperti kurang selesa dengan perkhabaran ini. Aku faham. Aku sudah mula memujuk mereka. Ini baru permulaan Ma, Abah. Janganlah kuatir. Baru hendak ditemuramah. Bukan apa-apa pun. Misi seperti ini bukan semudah yang disangka. Banyak saringannya.

Aku juga faham benar akan tanggungjawab aku yang tersedia ada di sini. Aku ada kerjaya, aku juga sedang menyambung pengajian. Terlalu banyak komitmen. Nampak macam mustahil. Tapi, Allah itu kan Maha Mengetahui lagi Bijaksana. Dia lebih tahu apa yang terbaik. Sungguh mudah; Jika Allah memang mahukan aku untuk berkhidmat di sana, Allah akan mudahkan urusanku. Jika Dia tidak izinkan, berusaha semahu mana pun, aku tetap tidak ditakdirkan untuk ke sana. Apa yang terbaik di sisi Allah, itulah yang terbaik buatku.

Terima sahaja apapun yang mendatang. Itu lebih baik.

Lewat ini, aku sering mengelamun panjang. Entah kenapa, ada satu ketika aku secara tiba-tiba merasakan hati ini tiada ikatan dengan tuhan. Terasa kosong. Terasa tiada tali yang menyatu. Jika ada tali, ia tidak kuat. Longgar. Senang terlerai. Kerna itu hati ini perlu merantau jauh. Hati yang berpergian mungkin mampu membawa pulang petunjuk. Bagi menyuluh jalan. Supaya sabit perjalanan.

Perjalanan yang Fana. Walau Fana, ia satu perjuangan.

4 comments:

Nafastari said...

Entah kenapa, saya rasakamu patut pergi! Mudah-mudahan baik dan selamat untuk kamu.

♥ Izzah Marzuki said...

selalunya, berjauhan lebih baik. beruzlah..dalam konteks hubungan dengan Tuhan, ia bermaksud memisahkan diri dari tarikan dunia & dapat memperolehi "taqarrub" = akrab = mendekatkan diri dengan Khaliq..

mungkin itu yg terbaik.. Allahua'alam.. =)

Pu3abdul said...

Nafastari, trm kasih atas sokongan anda. Mg Allah mudahkan urusan ini.

Pu3abdul said...

Ya kak Izz, beruzlah salah satu cara kita membersih hati mendekatkan diri pada Allah...smg sampai tahap ketiga iaitu beruzlah hati dan jiwa raga.