Aug 23, 2009

Ramadhan mengeratkan ukhuwah

Alhamdulillah, ini merupakan Ramadhan ketiga aku sambut di Malaysia sejak pulang dari luar negara pada tahun 2006. Gembira kerana dapat sambut di tanah air sendiri namun adakalanya aku merasa kekurangan sesuatu. Tidak seperti orang lain yang punya keluarga untuk bersama-sama meraikan Ramadhan, aku di sini jauh dari keluarga tercinta. Seperti Ramadhan yang lepas-lepas, aku menyambutnya tanpa kehadiran Mama dan Abah. Aku hanya berpeluang berjumpa dengan mereka pada hari raya pertama nanti, Insyallah.

Namun, di sini aku masih ada T.E.D. Ramadhan ini merapatkan hubungan kami adik beradik. Jika pada hari biasa, kami jarang dapat berjumpa walau tinggal sebumbung kerana masing-masing sibuk dengan kerja tapi apabila tiba bulan puasa, kami dapat selalu berjumpa, sahur dan berbuka bersama-sama.

Bukan setakat T.E.D. Silaturahim yang tersedia ada dengan orang lain juga dapat dieratkan terutamanya dengan penduduk setempat dan orang-orang masjid. Betapa banyaknya hikmah bulan Ramadhan ini.

Aku berazam untuk mengharamkan telinga ini dari mendengar alunan muzik yang lagha pada bulan Ramadhan ini. Aku mahu tumpukan perhatian pada bacaan Al-Quran dan tadabbur dengan ayat-ayat tersebut. Kalau boleh mahu khatam 2-3 kali. Sudah lama benar aku leka. Sebetulnya, ia pernah menjadi amalanku sebelum ini tapi kerana kesibukan hal dunia, aku kurang meluangkan masa. Ampunkan aku Ya Allah.

Aku memohon dari Allah SWT agar terus memberiku kesihatan jasmani yang baik dan minda yang cergas supaya aku kuat dan bertenaga untuk beramal tambah-tambah lagi di bulan yang mulia ini. Dengan keadaan persekitaran dan cuaca yang kurang memberangsangkan ketika ini, aku memohon agar dijauhkan segala perkara yang boleh memudaratkan.

Apapun, semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya. Lebih berkualiti dan lebih bermakna. Amin. Allah itu Maha Pemurah =) Ramadhan Kareem!

No comments: