Aug 30, 2009

3 Bulan "Chambering"


Salam.

Kejap sahaja masa berlalu. Pejam celik dah 3 bulan aku chambering. Master dah mula yakin untuk berikan aku tugas membuat hujah. First hujah yang aku buat adalah kira-kira sebulan lebih yang lalu. Cubaan pertama tersebut sangat-sangat mencabar kerana aku diberi amanah yang agak berat - membuat hujah untuk kes rayuan harta peninggalan yang didakwa sebagai hibah. Kami mewakili pihak Plaintif / Pemohon.

Alhamdulillah, hujah-hujah yang aku nyatakan diterima. Cuma Master betulkan dari segi penggunaan ayat agar ia nampak lebih tegas dan meyakinkan. Master selalu perli aku kerana sepanjang pemerhatian katanya penggunaan Bahasa Melayu aku sangat skema. Skema? Macamana tu? Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan. Haha.

Peringkat awal baru nak berjinak dengan tugas membuat hujah ini, aku masih ada perasaan teragak-agak. Seperti; betul ke apa yang aku buat ni? Kalau salah macamana? All those questions. Tapi, aku selalu pujuk hati. Ini adalah masa untuk membuat kesilapan dan belajar dari kesilapan. Dengan syarat, bila dah tahu apa yang silap, jangan diulang kesilapan tersebut. Aku juga cuba berfikiran rasional. Selagimana hujah yang aku buat itu masih relevan dan tidak lari dari isu yang dibicarakan jadi, aku masih di atas landasan yang betul.

Aku ada sesuatu nak kongsi. Sebelum ini, aku seorang yang kurang fokus dan sambil lewa dengan pekerjaan yang aku buat. Waktu belajar dulu, jika ada projek/assignment/presentation dsbnya, aku suka buat kerja last minute. Itu memang aku la. Alhamdulillah walau last minute, aku dapat buat dengan bagus dan selalu dapat kredit dgn apa yang aku usahakan. Cuma, banyak kecuaian sana sini. Kalau aku fokus dan beri perhatian yang lebih, pasti aku dapat buat yang lebih baik dari itu. Kadang-kadang ada penyesalan dan kadang-kadang cukup setakat itu dek kerana perasaan cepat berpuas hati.

Tapi sekarang aku tak boleh layan perangai lama. Kesannya lebih besar jika aku tidak buat dengan teliti. Jika aku cuai, banyak pihak yang akan terasa kesannya. Jika aku buat kerja last minute, memang banyak kerja akan tertangguh dan bila tertangguh ia akan menyusahkan banyak pihak. Jadi, aku perlu beri perhatian yang lebih dan tidak boleh buat sambil lewa.

Ada satu lagi kelemahan aku iaitu tak boleh fokus dalam suasana yang bising. Mungkin sebab aku masih baru. Kalau dah mahir esok lusa, dalam keadaan tegang pun boleh fokus. Mujurlah, Master macam faham-faham sahaja. Jika aku ditugaskan membuat hujah dan perlu disiapkan dalam masa terdekat, mereka mengizinkan aku menggunakan sebuah bilik peguam yang masih kosong. Kebetulan, peguam yang menyertai firm kami itu ada masalah kesihatan dan hanya datang sekali sekala ke pejabat (buat kerja dari rumah) jadi, aku menggunakan peluang ada sebaik-baiknya. Alhamdulillah, dilapangkan dan dimudahkan urusan.

Esok cuti. Aku hanya lepak di rumah. Tidak kemana-mana. Langkah pencegahan yang baik untuk elak H1N1. Baca doa shifa' banyak2. Khair insyallah. Jumpa lagi!

Aug 23, 2009

Ramadhan mengeratkan ukhuwah

Alhamdulillah, ini merupakan Ramadhan ketiga aku sambut di Malaysia sejak pulang dari luar negara pada tahun 2006. Gembira kerana dapat sambut di tanah air sendiri namun adakalanya aku merasa kekurangan sesuatu. Tidak seperti orang lain yang punya keluarga untuk bersama-sama meraikan Ramadhan, aku di sini jauh dari keluarga tercinta. Seperti Ramadhan yang lepas-lepas, aku menyambutnya tanpa kehadiran Mama dan Abah. Aku hanya berpeluang berjumpa dengan mereka pada hari raya pertama nanti, Insyallah.

Namun, di sini aku masih ada T.E.D. Ramadhan ini merapatkan hubungan kami adik beradik. Jika pada hari biasa, kami jarang dapat berjumpa walau tinggal sebumbung kerana masing-masing sibuk dengan kerja tapi apabila tiba bulan puasa, kami dapat selalu berjumpa, sahur dan berbuka bersama-sama.

Bukan setakat T.E.D. Silaturahim yang tersedia ada dengan orang lain juga dapat dieratkan terutamanya dengan penduduk setempat dan orang-orang masjid. Betapa banyaknya hikmah bulan Ramadhan ini.

Aku berazam untuk mengharamkan telinga ini dari mendengar alunan muzik yang lagha pada bulan Ramadhan ini. Aku mahu tumpukan perhatian pada bacaan Al-Quran dan tadabbur dengan ayat-ayat tersebut. Kalau boleh mahu khatam 2-3 kali. Sudah lama benar aku leka. Sebetulnya, ia pernah menjadi amalanku sebelum ini tapi kerana kesibukan hal dunia, aku kurang meluangkan masa. Ampunkan aku Ya Allah.

Aku memohon dari Allah SWT agar terus memberiku kesihatan jasmani yang baik dan minda yang cergas supaya aku kuat dan bertenaga untuk beramal tambah-tambah lagi di bulan yang mulia ini. Dengan keadaan persekitaran dan cuaca yang kurang memberangsangkan ketika ini, aku memohon agar dijauhkan segala perkara yang boleh memudaratkan.

Apapun, semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya. Lebih berkualiti dan lebih bermakna. Amin. Allah itu Maha Pemurah =) Ramadhan Kareem!

Aug 15, 2009

Kerana Hatiku Merantau Jauh..


Blog ini sudah bersawang. Lama benar aku tinggalkan. Tiada langsung jejak. Aku tidak berlaku adil. Maafkan aku.

Blog umumku yang menjadi ikutan sebahagian kenalanku telahpun aku tukar menjadi blog untuk tatapan peribadi. Anginku tidak baik. Itu yang pasti.

Sepanjang ketiadaanku tanpa sebarang catitan di sini, telah banyak perkara yang berlaku. Dalam gembira ada nestapa. Hidup tanpa merasa garam pasti tidak enak. Begitulah. Namun, ternyata ini semua membuat aku lebih dewasa. Pemikiran dan tahap kematanganku semakin kehadapan dan aku gembira dengan perkembangan ini. Ia tidak berlalu sia-sia.

Perkembangan terkini aktiviti sukarelawan, aku ada berita yang ingin dikongsi. Minggu lepas aku mendapat panggilan dari yayasan. Mereka ingin menghantar sukarelawan ke bumi Palestin. Dan mereka mengharapkan agar aku dapat datang untuk sesi temuduga yang akan diadakan dalam masa terdekat ini. Bumi Palestin! Sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran. Aku bersetuju untuk hadir tetapi tidak yakin dapat menempatkan diri dengan mudah untuk bersama mereka yang lain. Tidak pernah dalam sejarah yayasan mereka memanggil calon perempuan untuk ditemuduga bagi misi seperti ini. Sungguh ini bukan main-main.

Mama dan Abah tampak seperti kurang selesa dengan perkhabaran ini. Aku faham. Aku sudah mula memujuk mereka. Ini baru permulaan Ma, Abah. Janganlah kuatir. Baru hendak ditemuramah. Bukan apa-apa pun. Misi seperti ini bukan semudah yang disangka. Banyak saringannya.

Aku juga faham benar akan tanggungjawab aku yang tersedia ada di sini. Aku ada kerjaya, aku juga sedang menyambung pengajian. Terlalu banyak komitmen. Nampak macam mustahil. Tapi, Allah itu kan Maha Mengetahui lagi Bijaksana. Dia lebih tahu apa yang terbaik. Sungguh mudah; Jika Allah memang mahukan aku untuk berkhidmat di sana, Allah akan mudahkan urusanku. Jika Dia tidak izinkan, berusaha semahu mana pun, aku tetap tidak ditakdirkan untuk ke sana. Apa yang terbaik di sisi Allah, itulah yang terbaik buatku.

Terima sahaja apapun yang mendatang. Itu lebih baik.

Lewat ini, aku sering mengelamun panjang. Entah kenapa, ada satu ketika aku secara tiba-tiba merasakan hati ini tiada ikatan dengan tuhan. Terasa kosong. Terasa tiada tali yang menyatu. Jika ada tali, ia tidak kuat. Longgar. Senang terlerai. Kerna itu hati ini perlu merantau jauh. Hati yang berpergian mungkin mampu membawa pulang petunjuk. Bagi menyuluh jalan. Supaya sabit perjalanan.

Perjalanan yang Fana. Walau Fana, ia satu perjuangan.