Mar 31, 2009

Aku punya sebab


Aku ada sebab kenapa tidak menggunakan namaku sendiri untuk bertapak di dunia maya ini. Semata-mata untuk menghormati permintaan abah. Katanya dunia siber ini tiada sempadan. Mempunyai blog peribadi bukan bermakna aku boleh sesuka hati memberitahu orang tentang diri sendiri. Mungkin, ada benar kata-katanya.

Abahku berkata begitu kerana dia computer geek. T.E.D mengiyakan kerana dia juga computer geek. Jadi, sudah tentu mereka sedia arif dengan baik buruk dunia perkomputeran, teknologi dan IT.

Aku pernah mengalami pengalaman gambarku dimuat turun dan di cetak tanpa pengetahuanku. Lelaki itu memang obses. Tapi, aku tidak salahkan dia. Memang salahku kerana tidak berhati-hati.

Apapun, ber-blogging adalah hobi yang aku lakukan di waktu senggangku. Aku akan terus menulis. Cuma, kali ini aku tidak mahu terlalu mendedahkan diri. Belajar dari pengalaman, belajar dari kesilapan.

Mar 27, 2009

Lelaki,kau sukar ditafsir

Aku sudah mengambil keputusan. Biarlah aku memendam perasaan dan terus bersabar. Bukankah cinta memerlukan pengorbanan. Dan cinta tidak semestinya memiliki dan dimiliki. Dan aku tidak perlu tergesa untuk mendapatkan cintanya.

Biarlah aku terus memendam rasa asalkan aku terus berkesempatan mengenali dan berkawan dengannya.

Bodohkah aku?

Terima kasih



Abahku akan berada di KL sehingga Ahad ini atas urusan kerja. Dia book bilik di Darbypark tapi akhirnya dia meminta aku sahaja yang bermalam di situ. Banyak kerja katanya. Maka, dia bermalam di rumah, aku pulak disuruh tidur di hotel. Terbalik kod.
Hidupku memang agak kacau kebelakangan ini. Banyak yang aku fikirkan. Tentang hidupku, tentang kerja, tentang pelajaran, tentang macam-macam. Sudah berminggu aku tidak mendapat tidur yang lena. Jadi, kedatangan abah ke KL satu rahmat. Abah seperti faham keadaan aku. Terima kasih Abah.

Aku menelefon K.I untuk menemaniku. Malam tadi, kami berbual hingga pagi. Tidur 2-3 jam sahaja. Banyak perkara kami bincang dan saling nasihat menasihati. Aku memang banyak berkongsi dengan K.I. Dia sudah ku anggap seperti kakak.

Kini, aku lega kerana dapat meluahkan apa yang terbuku di dalam hati. Dan yang paling penting, aku dapat mendengar pendapat K.I. seterusnya mencari apakah solusi terbaik untuk mengatasi masalah-masalah ini. Hidup terlalu pendek, aku perlu jadikan ia lebih bermakna.

Terima kasih K.I atas sokongan dan semangat yang tidak putus. Terima kasih juga kerana sentiasa berada di sisiku saat susah dan senang ku. Aku bersyukur punya sahabat seperti kamu.

Mar 26, 2009

Andai Kau Mengerti


Tidur senyum, bangun pun senyum. Ada sesuatu yang membuat aku membawa senyum itu sampai ke tidur. Tidak pandai aku nak luahkan. Akan tetapi, ia adalah sesuatu yang membuat aku bahagia. Sesuatu yang aku tidak rancang akan tetapi ia terjadi secara spontan. Dan ia sangat bermakna bagiku. Alangkah indahnya jika dia pun berasa begitu.

Ya Allah, sampai bila harus aku simpan perasaan terpendam ini? Sampai bila? Adakah aku cukup kuat untuk berterus terang?

Aku mahu berterus terang akan tetapi aku sangat takut akan kehilangan dirinya. Kehilangan? Sejak bila aku memilikinya? Kita berasa kehilangan pada sesuatu yang milik kita. Jika bukan milik kita, ia bukan kehilangan.

Ah, aku kusut. Aku gusar apabila berterus terang nanti dia akan menjauhkan dirinya. Tetapi, jika tidak berterus terang, aku terus makan hati dan memendam perasaan. Dan ia sangat menyakitkan. Seakan satu beban. Aku tidak mampu menanggungnya lagi.

Aku terfikir. Kenapa dulu aku mampu menahan perasaan ini? Kenapa sejak sekian lama menyimpan perasaan, baru kebelakangan ini aku merasa sangat terseksa?

Dulu, aku hanya memerhati dari jauh. Tidak pernah berangan untuk datang dekat. Mustahil, fikirku. Tapi kini, dia dekat denganku. Sungguh Allah memakbulkan doaku. Dan ia petanda yang baik. Akan tetapi, semakin mengenali dirinya semakin aku tidak faham. Dia sukar ditafsir. Ia benar cabaran.

Aku percaya setiap apa yang berlaku dalam dunia ini ada hikmah yang tersembunyi. Bertemu dan mengenalinya dengan lebih dekat adalah perkara yang sangat aku syukuri. Akan tetapi, aku tidak tahu apa sebenarnya perancangan Allah untuk ku. Apa sebenarnya yang Allah ingin tunjukkan padaku.

Aku perlu bantuan mama. Solat istikharah untuk ku. Kerana mama akan berlaku adil. Dia tidak mengenali lelaki itu. Maka, besar kemungkinan hasilnya tidak berat sebelah.

Aku sedar, aku perlu juga berterus terang. Agar segala teka teki terlerai. Apa bezanya lambat atau cepat? Jawapannya tetap sama. Jika dia tidak ditakdirkan untukku, selama-lamanya dia bukan untuk ku. Tapi, jika dia adalah jodohku, halangan sebesar manapun, dia tetap jodohku.

Sekarang, aku hanya ingin tahu perasaan dia. Supaya aku tidak lagi ternanti-nanti. Jikapun dia tidak punya apa-apa perasaan padaku, sekurang-kurangnya aku tahu isi hatinya. Dan sekurang-kurangnya apa yang terpendam ini terluah walaupun aku tahu besar kemungkinan dia akan menjauhkan diri.

Selama ini, aku cukup kuat menghadapi dugaan malah ada yang lebih teruk lagi dari ini. Tapi kali ini, aku tidak pasti. Apapun aku tidak akan menyerah. Aku kan bergedil.

Mar 25, 2009

Aku pilih kerana..

Background blog aku kali ini sangat berbeza dengan blog ku yang satu lagi. Kalau yang itu, warnanya terang, ada unsur klasik. Kali ini, segalanya gelap dan aku sukakan kombinasi hitam dan pink. Kali ini, aku ubah angin. Aku mahukan sesuatu yang fresh dan sedikit pinky. Lebih segar. Lebih simple (^-*)

Gaya penulisanku juga ada sedikit perubahan. Dulu, aku senang menggunakan 'saya'. Kini, 'aku' lebih bermakna. Kenapa? kerana merasa ia lebih dekat dengan kehidupan sebenar. Pedulikan apa kata orang. Kadang-kadang, ada yang sinis berkata 'aku' itu tidak sopan. Tetapi, aku orang Johor. Dan menggunakan kata ganti nama diri dengan 'aku', menunjukkan bahawa aku mesra dengan kamu.

Aku, saya. Tiada beza. Semua sama. Aku tetap suka.


Sambung

Aku nak sambung balik cerita dari entry aku terdahulu. Kenapa aku geli hati sangat. Bukan aku ketawakan orang lain. Aku ketawakan diriku sendiri. Kebodohanku, kebengonganku dan semua jenis ke-an yang setaraf dengannya.

Bagi mereka yang jobless macam aku ni (jobless ke?aku ada business sendiri mm) memang excited nak cari kerja. Jobstreet, monster dan mcm2 lagi adalah medan aku mencari kerja. Begitu juga iklan-iklan di surat khabar. Tapi, aku terlupa satu perkara. Betapa pentingnya punya sikap berhati-hati.

Seperti yang aku pernah cakap dulu, dunia ini penuh dengan tipu muslihat. Macam-macam ragamnya. Dalam mencari kerja, aku mengamalkan sikap terbuka. Sentiasa berfikiran positif. Asalkan kerja yang bakal aku pohon itu halal dan tidak sangkut menyangkut dengan perkara yang salah di sisi undang2 dan agama. Tapi, sikapku yang sentiasa berfikiran positif ini amatlah membimbangkan adik ku, T.E.D.

Hari ini aku pergi satu temuduga kerja. Itupun setelah mendapat lampu hijau dari abah dan T.E.D. Al-kisahnya, malam tadi aku bertekak dengan T.E.D ala mesra gitu. Semuanya gara-gara aku memohon pekerjaan pada iklan ruangan kerja kosong di surat khabar The Star yang tidak beralamat dan hanya menyertakan nombor telefon serta nama untuk dihubungi. T.E.D marah sungguh dengan tindakan aku. Kerana katanya, kenapa aku perlu memohon pekerjaan yang aku sendiri tidak tahu latar belakang syarikatnya. Sungguh tidak boleh dipercayai, is not reliable katanya. T.E.D juga dengan penuh emosi berkata, kalaulah aku terus sahaja pergi ke sana tanpa berbincang dengannya kemudian diperdaya,di tipu dan aku diapa-apakan, bagaimana? Dia kesal sungguh dengan sikapku yang kurang prihatin dengan perkara begini.

Aku pula? Aku dengan caraku. Aku katakan padanya bahawa aku berfikiran positif dan dalam masa yang sama aku juga meletakkan satu ingatan agar berwaspada. Tujuan aku memohon hanya sekadar untuk observe terlebih dahulu. Bagaimana aku akan tahu tentang syarikat mereka jika aku tidak bertanya lanjut?

Aku sedar. Banyak berlaku kes penipuan melibatkan graduan mencari kerja. Ada yang mampu mengaburi mata banyak pihak dengan sikap profesional mereka. Ruang pejabat yang besar dan mewah padahal ianya hanya disewa untuk tempoh tertentu. Sudahnya wang job seekers yang berjaya di kutip kononnya untuk biayai kos training dan sebagainya, habis dikebas dan dilarikan entah ke mana. Perkara beginilah yang T.E.D risau akan berlaku padaku.

Aku tahu T.E.D amat mengambil berat. Kadang-kadang dia bersikap over protective. Aku menghabiskan masa lama di luar negara sehingga kadang-kadang kekok untuk hidup di negara sendiri. Banyak benda di dunia realiti yang aku tidak tahu.

Dan tadi, Alhamdulillah temuduga berjalan dengan baik. Latar belakang syarikat itu aku perolehi ketika sesi temuduga. Ada benarnya kata-kata T.E.D itu. Kenapa latar belakang syarikat amat penting? Kerana ia memberi kita peluang mengkaji status dan kedudukan syarikat sebelum kita memberi kata putus untuk menghadiri temuduga. Dan juga untuk mengelak sebarang perkara tidak diduga. Ditipu, di pergunakan dsbnya.

Aku sedar aku ini memang tidak sukakan benda yang remeh temeh. Padaku hal seperti itu bukan satu isu besar. Akan tetapi, tidak pada orang lain. Tidak pada T.E.D. Ah T.E.D, walaupun beza umur kita hanya setahun dua akan tetapi kau lebih matang dariku mungkin. Aku ini masih terkial-kial untuk hidup.


Mar 24, 2009

Kurang pandai, bukan bodoh

Haha.
Aku mahu ketawa apabila mengingatkan semula perihal adikku, T.E.D. Aku juga ketawa kerana kebodohan aku sendiri. Akan aku ceritakan kenapa tapi bukan sekarang ya. Aku perlu lakukan sesuatu terlebih dahulu, kemudian sama-sama kita tunggu natijahnya kelak kerana ia berkait rapat dengan apa yang ingin aku ceritakan tadi - Yang membuat aku ketawa sendiri apabila mengingatinya. Ia lucu tapi dalam waktu yang sama ia bukanlah satu tindakan yang bijak. Kurang pandai, bukan bodoh ya! =)

Susah ada Manisnya

Aku tidak pernah takut hidup susah. Bagiku, kesusahan itu yang mengajar aku erti dan makna sebuah kehidupan. Dari sudut kehidupan itu aku belajar mengenali siapa diriku. Di waktu susah, aku tahu erti penggantungan kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Pengertian itu pula membawa kepercayaan yang jitu lalu aku pegang sebagai azimat di saat susah dan senang. Terasa hidup lebih aman dan hati lebih tenteram. Walaupun sesukar mana ranjau hidup yang perlu ditempuh, aku yakin aku mampu lalui dengan baik.

Atukku pernah berkata,
Apabila hati kamu tenang menghadapi dugaan dan kesusahan yang menimpa, pasti kamu dapat lepasi halangan dengan baik. Kerana jiwa yang kuat adalah kunci kelapangan hidup. Ia adalah hasil dari ketenangan hati. Maka, peliharalah hati.

Jujur itu mahal

Sungguh sukar mencari orang yang jujur dan ikhlas dalam dunia yang penuh pancaroba ini. Sudah pupuskah manusia jenis itu? Aku tertanya sendiri. Atau adakah aku yang bernasib malang kerana sering menemui orang yang salah di waktu yang salah? Ya tuhan, ampunkan aku kerana mengeluh.

Aku fobia. Takut untuk menghulurkan tangan tanda persahabatan. Kerana aku kuatir, tangan yang sama juga yang bisa menghancurkan hidupku.

Aku manusia naif. Terkadang tidak bisa membezakan yang mata kaca yang mana permata. Bagiku, apabila dia sudah ku anggap sahabat, aku tidak pernah kisah dan tidak pernah berkira. Aku sanggup susah kerana mereka. Aku rela.

Tetapi, bukan semua manusia tahu menghargai. Bukan minta dihargai, akan tetapi cukup sedikit rasa hormat. Cukup.

Aku tidak mengerti. Mengapa semakin sukar menemui kejujuran di celah-celah kehidupan manusia?

Wahai dunia, akukah yang bersalah?


Bebas

Sengaja aku mahu lari dari kemashuran dunia blog. Aku membuka lembaran baru. Di sini, tiada siapa mengenaliku. Aku bebas bercerita. Aku bebas meluah. Tentang dunia ku. Mungkin juga tentang sisi gelapku. Yang mana tidak mampu aku canangkan di blogku terdahulu. Aku berasa sangat bebas. Sungguh. Satu kepuasan apabila dapat terbang jauh, menjadi asing dan tidak dikenali. Aku puas.